MYBERITA · MALAYSIA
TERKINI
Memuatkan berita terkini...
Showing posts with label GP Bahrain. Show all posts
Showing posts with label GP Bahrain. Show all posts
CEO F1 kagum GP Bahrain berjaya dibawa ke Sepang dalam dua bulan

CEO F1 kagum GP Bahrain berjaya dibawa ke Sepang dalam dua bulan

oleh Wartawan MYBERITA·

SEPANG - Kejayaan membawa pengalaman Grand Prix (GP) Bahrain ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dalam tempoh hanya dua bulan disifatkan sebagai pencapaian luar biasa oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Formula 1 (F1), Stefano Domenicali.

Domenicali berkata, tempoh singkat itu berjaya dimanfaatkan menerusi kerjasama erat antara Litar Antarabangsa Bahrain (BIC) dan SIC bagi memastikan penganjuran berkenaan menampilkan pengalaman sebenar GP Bahrain.

Katanya, komitmen Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Bahrain, Putera Salman Hamad Al Khalifa turut menjadi antara faktor penting yang membolehkan perlumbaan itu direalisasikan dalam tempoh berkenaan.

"Kami merasai pengalaman GP Bahrain yang luar biasa di Malaysia dan saya menghargai semangat serta komitmen tidak berbelah bahagi Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Bahrain Putera Salman Hamad Al Khalifa terhadap perlumbaan ini dan F1.

"Visi, kesungguhan dan pemikiran tangkas baginda membolehkan kita menikmati gambaran sebenar acara Bahrain pada hujung minggu ini dan ia disempurnakan hanya dalam tempoh singkat, iaitu dua bulan," katanya

Beliau berkata, pasukan Bahrain dan SIC berganding bahu menyahut cabaran berkenaan bagi memastikan segala persiapan dapat dilaksanakan mengikut perancangan.

Dalam pada itu, Domenicali turut menyifatkan sambutan peminat terhadap kepulangan F1 ke Malaysia dan SIC selepas hampir sedekad sebagai sesuatu yang amat bermakna.

Menurutnya, kehadiran peminat sepanjang hujung minggu perlumbaan membuktikan sokongan terhadap sukan permotoran itu masih kuat, selain memainkan peranan penting dalam menghidupkan suasana GP.

"Saya mesti berterima kasih kepada peminat, semangat dan minat mereka terhadap sukan ini sangat jelas. Tanpa mereka, sukan kami tidak bermakna.

"Komitmen mereka ketika kami beralih untuk menganjurkan perlumbaan di sini amat luar biasa. Kami berharap mereka pulang dengan kenangan seumur hidup mengenai detik yang benar-benar unik dalam sejarah F1," katanya.

Verstappen kembali takluk Sepang selepas sembilan tahun

Verstappen kembali takluk Sepang selepas sembilan tahun

oleh Wartawan MYBERITA·

SEPANG - Max Verstappen kembali mencipta memori manis di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) apabila muncul juara Grand Prix (GP) Bahrain selepas mengharungi perlumbaan penuh drama yang tertangguh lebih sejam akibat hujan lebat, hari ini.

Kemenangan itu cukup istimewa buat pelumba Red Bull Racing berkenaan apabila Sepang merupakan litar sama yang menyaksikannya memenangi perlumbaan Formula Satu (F1) terakhir di Malaysia pada 2017.

Lebih bermakna, kejayaan tersebut menjadi kemenangan pertama Verstappen musim ini, sekali gus menghadiahkan gelaran sulung kepada Red Bull Racing selepas melalui permulaan kempen yang mencabar.

Perlumbaan pada awalnya beberapa kali tergendala susulan hujan lebat yang membasahi litar sehingga beberapa jentera berdepan kesukaran ketika melakukan pusingan formasi.

Selepas keadaan mengizinkan perlumbaan dimulakan, pelumba Mercedes AMG, Kimi Antonelli yang bermula dari petak ketiga melakukan permulaan cemerlang untuk merampas kedudukan pendahulu.

Bagaimanapun, kelebihan Antonelli tidak bertahan lama apabila Verstappen mula memberikan tekanan sebelum memanfaatkan situasi kereta keselamatan virtual untuk melakukan pintasan pada pusingan ke-13.

Sejak mengambil alih kedudukan pertama, juara dunia empat kali itu semakin selesa di hadapan apabila berjaya membina jurang melebihi tujuh saat berbanding pencabar terdekat.

Momentum Verstappen sekali lagi diuji apabila kereta keselamatan memasuki litar pada pusingan ke-46, sekali gus merapatkan semula kelompok pelumba.

Namun, dia kekal tenang selepas perlumbaan disambung dan mempertahankan kedudukan sehingga melintasi garisan penamat untuk mengesahkan kemenangan.

“Satu kemenangan yang sangat baik selepas kami melakukan progres sepanjang musim ini. Saya sangat bangga dengan semua orang dalam pasukan dan kemenangan di sini boleh dikatakan sangat bermakna.

“Ia bukan satu perlumbaan yang mudah kerana kami perlu menunggu (unit) kuasa untuk berfungsi sepenuhnya. Kami juga melakukan keputusan yang sangat baik dengan menggunakan tayar ‘intermediate’ di awal perlumbaan,” katanya.

Antonelli terpaksa berpuas hati di tempat kedua, manakala pelumba Ferrari, Lewis Hamilton melengkapkan podium selepas bangkit daripada kedudukan belakang untuk menamatkan perlumbaan di tempat ketiga.

Perlumbaan yang menarik lebih 100,000 penonton itu turut menyaksikan persaingan sengit antara Verstappen dan Antonelli, terutama pada fasa awal selepas keadaan litar kembali sesuai untuk perlumbaan.

Kejayaan tersebut turut melengkapkan satu kisah unik buat Verstappen di Sepang selepas sembilan tahun F1 tidak berlumba di litar berkenaan.

Pada 2017, Verstappen merupakan pelumba terakhir memenangi GP Malaysia di Sepang sebelum perlumbaan itu digugurkan daripada kalendar F1.

Kini, kepulangannya ke litar sama sekali lagi berakhir di tangga teratas podium, kali ini menerusi GP Bahrain yang berlangsung dalam keadaan cuaca mencabar.

GP Bahrain di Sepang tertangguh akibat hujan lebat

GP Bahrain di Sepang tertangguh akibat hujan lebat

oleh Wartawan MYBERITA·

SEPANG - Permulaan Grand Prix (GP) Bahrain di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hari ini terpaksa ditangguhkan berikutan hujan lebat dan ribut petir yang melanda kawasan litar.

Perlumbaan hanya akan dimulakan selepas keadaan cuaca dan litar disahkan selamat untuk semua pelumba.

Situasi itu mencetuskan cabaran baharu kepada pasukan dan pelumba apabila perlumbaan berkenaan menjadi aksi pertama musim ini bagi jentera era baharu 'hibrid' dalam keadaan basah.

Ia turut menandakan perlumbaan Formula 1 (F1) pertama di Sepang sejak 2017.

Kebanyakan pelumba dilaporkan mempunyai pengalaman ujian yang minimum dalam keadaan basah musim ini, selain kebimbangan terhadap penggunaan tayar intermediate baharu yang mungkin terlalu keras untuk permukaan litar dengan tahap cengkaman rendah.

GP Bahrain dipindahkan dari Bahrain ke Malaysia susulan konflik yang berlaku di Asia Barat.

Juara dunia empat kali, Max Verstappen daripada pasukan Red Bull, dijadualkan memulakan perlumbaan dari petak hadapan, manakala juara dunia tujuh kali, Lewis Hamilton yang mewakili Ferrari, berada di sebelahnya.

Keadaan cuaca semasa akan terus dipantau sebelum keputusan mengenai permulaan perlumbaan dibuat.

F1 Malaysia dan Singapura bergilir? Mokhzani kata sukar direalisasikan

F1 Malaysia dan Singapura bergilir? Mokhzani kata sukar direalisasikan

oleh Wartawan MYBERITA·

SEPANG - Cadangan Malaysia dan Singapura menganjurkan perlumbaan Formula Satu (F1) secara bergilir setiap dua tahun dilihat sukar direalisasikan, terutama kerana kedua-dua negara mempunyai jadual dan konsep penganjuran yang berbeza.

Presiden Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM), Tan Sri Mokhzani Mahathir berkata, Singapura dijangka tidak akan melepaskan peluang untuk terus menjadi tuan rumah perlumbaan berprestij itu, sekali gus menjadikan idea penganjuran secara berselang-seli kurang praktikal.

Menurut beliau, Malaysia juga perlu mengambil kira tempoh kontrak penganjuran F1 yang lazimnya dibuat untuk beberapa tahun dan bukan secara jangka pendek.

"Saya rasa Singapura tidak akan melepaskan peluang untuk menganjurkan Formula Satu, jadi nak buat secara berselang-seli dengan Malaysia, bagi saya tidak mungkin berlaku. Sebelum ini pun kita tidak pernah bergilir-gilir.

"Suasana juga berbeza kerana mereka perlumbaan malam, manakala kita petang. Jika peminat Formula Satu boleh datang ke sini, mereka juga boleh pergi ke Singapura," katanya ketika ditemui di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kemungkinan Malaysia kembali menjadi tuan rumah perlumbaan F1 secara dwitahunan, termasuk cadangan untuk berkongsi penganjuran dengan Singapura.

Mokhzani yang juga bekas Pengerusi SIC berkata, penganjuran F1 biasanya memerlukan komitmen jangka panjang melalui kontrak selama lima tahun, yang lazimnya disusun dalam format 3+2.

Katanya, tempoh berkenaan penting bagi membolehkan negara penganjur membuat perancangan serta persiapan yang lebih teratur.

"Situasi kita kali ini unik kerana keadaan di Asia Barat tidak mengizinkan perlumbaan Formula Satu diadakan, jadi kita dapat peluang itu.

"Kita tidak mahu ia kekal begitu kerana itu menunjukkan situasi di tempat lain tidak selamat," katanya.

Malaysia sebelum ini bersetuju menjadi lokasi penganjuran Grand Prix (GP) Bahrain di Litar Sepang susulan ketegangan politik yang berlaku di rantau Asia Barat.

Bagaimanapun, Mokhzani berharap peluang tersebut bukan sekadar menjadikan Malaysia sebagai pengganti kepada perlumbaan di negara lain, sebaliknya membuka ruang untuk Malaysia kembali menganjurkan F1 secara tetap.

"Kebiasaannya, kontrak menganjurkan Formula Satu adalah secara 3+2, iaitu lima tahun supaya senang untuk kita buat perancangan.

"Bagi saya, SIC sentiasa bersedia untuk menganjurkan perlumbaan," ujarnya.

Empat jam berdiri tunggu bas, pengunjung F1 Sepang kembali luah kecewa

Empat jam berdiri tunggu bas, pengunjung F1 Sepang kembali luah kecewa

oleh Wartawan MYBERITA·

SEPANG - Keterujaan menyaksikan aksi Formula Satu (F1) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bertukar menjadi penantian panjang buat sebahagian pengunjung apabila mereka mendakwa terpaksa beratur berjam-jam untuk menaiki bas perantara keluar dari kawasan litar.

Situasi pada hari kedua penganjuran itu sekali lagi menjadi perhatian di media sosial apabila seorang pengguna Threads, Fteenzlkha, mendakwa dia terpaksa berdiri lebih empat jam menunggu perkhidmatan bas berkenaan.

Menurutnya, keadaan kali ini dilihat lebih mencabar berbanding hari sebelumnya apabila barisan pengunjung masih panjang selepas pukul 9 malam.

“Semalam pada pukul 9 malam keadaan sudah reda. Hari ini pada pukul 9.05 malam masih kelihatan seperti ini,” katanya menerusi hantaran berkenaan.

Hantaran itu kemudian mengundang pelbagai reaksi pengguna media sosial, dengan beberapa pengunjung mengakui jumlah orang yang mahu meninggalkan litar pada waktu sama dipercayai menjadi antara faktor barisan panjang.

Bagaimanapun, terdapat juga pengunjung yang berpandangan pengurusan bas pada hari kedua lebih tersusun berbanding hari sebelumnya.

Seorang pengguna, Shrlnzm berkata, lokasi barisan bagi setiap perkhidmatan bas kini lebih jelas, sekali gus memudahkan pengunjung mengetahui tempat yang perlu dituju.

“Hari ni lebih teratur dan kita tahu dekat mana nak berbaris untuk naik bas mana. Cuma jumlah hari ni lebih ramai dari semalam,” katanya.

Pandangan sama dikongsi Ahmadalief yang menyifatkan sistem beratur kali ini lebih teratur.

“Tapi lebih teraturlah dari semalam, macam zombi kejar bas,” katanya secara berseloroh.

Sementara itu, pengguna dikenali sebagai Zozean berpendapat beberapa penambahbaikan telah dilakukan susulan kesesakan pada hari sebelumnya, termasuk pertambahan bas, aliran trafik lebih lancar serta penyediaan lokasi beratur yang lebih baik.

“Pada pendapat saya, mereka sudah mengambil iktibar daripada apa yang berlaku semalam. Hari ini lebih banyak bas disediakan, trafik juga lebih lancar dan lokasi untuk beratur lebih baik.

“Cuma jumlah orang yang mahu keluar pada masa sama terlalu ramai. Bukan berlaku di Sepang sahaja, malah kalau dilihat di Jepun, Sepanyol dan Imola pun situasinya sama apabila semua orang beratur untuk meninggalkan litar,” katanya.

Situasi itu memperlihatkan cabaran menguruskan pergerakan keluar pengunjung dalam jumlah besar secara serentak, terutama selepas berakhirnya aktiviti perlumbaan di litar.

Setakat ini, dakwaan mengenai tempoh menunggu lebih empat jam itu adalah berdasarkan perkongsian pengguna media sosial dan belum dapat disahkan secara bebas.

Verstappen 'Raja Sepang', rampas petak utama GP Bahrain di Malaysia

Verstappen 'Raja Sepang', rampas petak utama GP Bahrain di Malaysia

oleh Wartawan MYBERITA·

SEPANG - Max Verstappen kembali membuktikan penguasaannya di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) apabila merampas petak utama Grand Prix (GP) Gulf Air Bahrain di Malaysia 2026, sekali gus berada pada kedudukan terbaik untuk memburu satu lagi kemenangan di litar keramat itu.

Pelumba Red Bull Racing itu mempamerkan rentak cemerlang pada sesi kelayakan hari ini dengan mencatat masa terpantas satu minit 35.130 saat, meninggalkan pencabar terdekat dari Ferrari, Lewis Hamilton dengan jurang 0.298 saat.

Pencapaian itu cukup signifikan buat Verstappen yang mempunyai kenangan manis di Sepang selepas muncul pemenang GP Malaysia edisi terakhir pada 2017.

Hamilton yang juga juara dunia tujuh kali terpaksa berpuas hati di petak kedua selepas merekodkan 1:35.428s, sekali gus menyaksikan dua juara dunia itu bakal berkongsi barisan hadapan apabila perlumbaan bermula esok.

Rakan sepasukan Verstappen, Isack Hadjar pula memastikan Red Bull mempunyai dua jentera dalam kelompok tiga teratas apabila meraih petak ketiga menerusi catatan 1:35.558s.

Pendahulu semasa kejuaraan dunia, Kimi Antonelli dari Mercedes-AMG PETRONAS F1 Team akan memulakan perlumbaan dari petak keempat selepas mencatat 1:35.631s.

Charles Leclerc membawa sebuah lagi jentera Ferrari ke petak kelima dengan 1:35.666s, manakala juara dunia bertahan, Lando Norris dari McLaren menduduki petak keenam menerusi catatan 1:35.757s.

Norris hanya 0.005s lebih pantas berbanding rakan sepasukannya, Oscar Piastri yang meraih petak ketujuh, sementara George Russell dari Mercedes-AMG PETRONAS F1 Team berada di petak kelapan dengan masa 1:35.871s.

Pierre Gasly dari Alpine dan Gabriel Bortoleto dari Audi masing-masing melengkapkan kelompok 10 terbaik di petak kesembilan dan ke-10.

Keputusan kelayakan itu menjanjikan pertarungan menarik antara Verstappen dan Hamilton di barisan hadapan, selain Antonelli yang mempunyai misi mempertahankan kedudukannya selaku pendahulu kejuaraan dunia.

“Sepang merupakan satu litar yang sukar, terutamanya dengan cuaca panas yang boleh menyebabkan tayar cepat haus,” kata Verstappen ketika mengulas cabaran litar itu selepas sesi latihan sebelum ini.

Perlumbaan GP Gulf Air Bahrain di Malaysia 2026 dijadual bermula pukul 3 petang esok.

Formula 1 pada Julai lalu mengesahkan Malaysia sebagai tuan rumah perlumbaan berkenaan dari 2 hingga 4 Oktober susulan persetujuan antara Formula 1, Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) serta kerajaan Malaysia dan Bahrain.

Penganjuran di Sepang membolehkan GP Bahrain kekal dalam kalendar F1 2026 selepas perlumbaan yang sepatutnya berlangsung pada awal musim dibatalkan susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat.

Malaysia sebelum ini menjadi tuan rumah GP Malaysia di Sepang selama 19 edisi dari 1999 hingga 2017 sebelum perlumbaan berkenaan digugurkan daripada kalendar Formula Satu.

Putera Mahkota Bahrain tiba di Malaysia sempena F1 di Sepang

Putera Mahkota Bahrain tiba di Malaysia sempena F1 di Sepang

oleh Wartawan MYBERITA·

SEPANG - Kehadiran Putera Mahkota Bahrain, Putera Salman bin Hamad Al Khalifa ke Malaysia hari ini mencuri perhatian sempena penganjuran Formula 1 (F1) Gulf Air Bahrain Grand Prix 2026 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Pesawat khas yang membawa Putera Salman, yang juga Perdana Menteri Bahrain, mendarat di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada kira-kira pukul 12 tengah hari.

Ketibaan baginda disambut Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Al-Haj Sultan Ibrahim; Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Al-Haj Sultan Ibrahim serta Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Al-Haj Sultan Ibrahim.

Turut hadir Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari serta Duta Bahrain ke Malaysia, Dr Waleed Khalifa Al Manea.

Putera Salman kemudian menerima tabik hormat dan berjalan melewati kawalan kehormatan membabitkan 28 pegawai serta anggota Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja yang diketuai Kapten Muhamad Thabrani Mohamad Sharudin.

Kehadiran baginda ke Malaysia adalah bersempena perlumbaan F1 yang berlangsung di SIC mulai hari ini hingga 4 Oktober, sekali gus menjadikan Sepang sebagai lokasi sementara bagi perlumbaan berprestij itu.

Malaysia dipilih sebagai tuan rumah Grand Prix Bahrain 2026 selepas Formula 1 pada Julai mengesahkan perlumbaan berkenaan berlangsung di Sepang hasil persetujuan antara Formula 1, Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) serta kerajaan Malaysia dan Bahrain.

Perlumbaan tersebut pada asalnya dijadualkan berlangsung di Bahrain sebelum dibatalkan susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat, sebelum Malaysia dipilih untuk mengambil alih penganjuran bagi musim 2026.

SIC sebelum ini menjadi tuan rumah Grand Prix Malaysia dari 1999 hingga 2017 sebelum perlumbaan itu tidak lagi berada dalam kalendar F1.

Kembalinya F1 ke Malaysia turut menyusuli hubungan diplomatik antara Malaysia dan Bahrain, termasuk peranan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim serta Raja Bahrain, Raja Hamad Isa Al-Khalifa dalam usaha membawa semula perlumbaan berkenaan ke Sepan

Verstappen kembali 'tawan' Sepang, catat masa terpantas hari pertama

Verstappen kembali 'tawan' Sepang, catat masa terpantas hari pertama

oleh Wartawan MYBERITA·

SEPANG - Sembilan tahun selepas memenangi perlumbaan Formula Satu (F1) terakhir di Sepang, Max Verstappen kembali menunjukkan penguasaannya apabila mencatat masa terpantas keseluruhan pada hari pertama Grand Prix (GP) Bahrain di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), hari ini.

Pelumba Red Bull Racing itu mencatat masa sepusingan 1 minit 37.520 saat (s) pada sesi latihan bebas pertama (FP1), sekali gus mengatasi George Russell dari Mercedes dengan kelebihan 0.383s.

Catatan tersebut kekal sebagai masa terpantas sepanjang dua sesi latihan hari ini meskipun pelumba Ferrari, Charles Leclerc mengungguli sesi latihan bebas kedua (FP2) dengan 1:37.528s — hanya 0.008s lebih perlahan berbanding masa terbaik Verstappen.

Verstappen pula menamatkan FP2 di kedudukan keempat selepas mencatat 1:37.785s, di belakang Leclerc, Isack Hadjar dan Lando Norris. Menariknya, masa terbaik Verstappen pada sesi berkenaan dilakukan menggunakan tayar medium, berbeza dengan beberapa pencabar di hadapannya yang menggunakan tayar lembut.

Prestasi itu memberi petanda positif buat juara dunia empat kali berkenaan dalam kepulangannya ke Sepang, litar yang menyaksikannya muncul juara pada perlumbaan F1 terakhir di Malaysia pada 2017.

Verstappen mengakui permulaan hujung minggu perlumbaan kali ini agak memberangsangkan, namun masih terdapat beberapa aspek yang perlu diperbaiki terutama dalam menguruskan tayar dalam keadaan panas di Sepang.

“Saya fikir kami mengharungi permulaan cukup baik untuk minggu perlumbaan di sini kerana Sepang merupakan satu litar yang sukar, terutamanya dengan cuaca panas yang boleh menyebabkan tayar cepat haus.

“Masih banyak perkara yang perlu diperbaiki, jadi sukar untuk cakap sama ada kami buat progres ataupun tidak. Saya boleh katakan sesi kedua lebih redup berbanding sesi pertama,” katanya.

Cabaran pengurusan tayar dijangka menjadi antara faktor penting sepanjang hujung minggu ini selepas suhu trek mencecah sehingga 54 darjah Celsius pada hari pertama, sekali gus meningkatkan tahap degradasi tayar.

Persaingan rapat antara Red Bull, Ferrari, McLaren dan Mercedes pada dua sesi awal turut memberi gambaran bahawa perebutan petak hadapan dalam sesi kelayakan bakal berlangsung sengit.

Selepas dua sesi latihan hari ini, pelumba akan kembali ke trek untuk sesi latihan bebas ketiga sebelum menghadapi sesi kelayakan pada Sabtu, manakala perlumbaan utama dijadualkan berlangsung Ahad.